Maliat site Multilateral Agreement on the Liberalization of International Air Transportation
Multilateral Agreement on the Liberalization of International Air Transportation
Agreement Protocol Country Other Contacts Site Map Return to site home page

Agreement - Malay - Perkara 7

Perkara 7 - Keselamatan Penerbangan

  1. Menurut hak-hak dan kewajipan-kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, Pihak-Pihak mengesahkan sekali lagi mengenai kewajipan mereka antara satu sama lain untuk mengawal keselamatan penerbangan awam daripada perbuatan-perbuatan gangguan yang menyalahi undang-undang merupakan bahagian yang melengkapkan Perjanjian ini. Tanpa menghadkan keluasan makna hak-hak dan kewajipan-kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, Pihak-Pihak hendaklah khususnya bertindak menepati peruntukan-peruntukan Konvensyen mengenai Kesalahan-Kesalahan dan Perbuatan-Perbuatan Lain Tertentu Yang Dilakukan di dalam Pesawat Udara, yang ditandatangani di Tokyo pada 14 haribulan September 1963, Konvensyen bagi Penumpasan Perampasan Pesawat Udara Yang Menyalahi Undang-Undang, yang ditandatangani di The Hague pada 16 haribulan Disember 1970, dan Konvensyen bagi Penumpasan Perbuatan-Perbuatan Yang Menyalahi Undang-Undang terhadap keselamatan Penerbangan Awam, yang ditandatangani di Montreal pada 23 haribulan September 1971, dan Protokol bagi Penumpasan Perbuatan-Perbuatan Aniaya Yang Menyalahi Undang-Undang di Lapangan-Lapangan Terbang yang Mengendalikan Penerbangan Awam Antarabangsa, yang ditandatangani di Montreal pada 24 haribulan Februari, 1988.
  2. Tiap-tiap Pihak hendaklah memberikan atas permintaan Pihak yang satu lagi segala bantuan yang perlu kepada Pihak yang satu lagi itu untuk mencegah perbuatan-perbuatan merampas pesawat udara awam yang menyalahi undang-undang dan perbuatan-perbuatan lain yang menyalahi undang-undang terhadap keselamatan pesawat udara tersebut, penumpang-penumpang dan krewnya, dan lapangan-lapangan terbang dan kemudahan-kemudahan perjalanan udara, dan untuk memberi perhatian sebarang ancaman lain terhadap keselamatan perjalanan udara awam.
  3. Tiap-tiap Pihak hendaklah, dalam hubungan mereka dengan Pihak-Pihak yang lain, bertindak menepati peruntukan-peruntukan keselamatan penerbangan dan amalan bersesuaian yang disyorkan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dan di tentukan sebagai Tambahan-Tambahan kepada Konvensyen; ianya akan menghendaki supaya pengendali-pengendali pesawat udara di bawah pendaftarannya, pengendali-pengendali pesawat udara yang mempunyai tempat perniagaan utama atau kediaman tetapnya di dalam wilayahnya dan pengendali-pengendali lapangan terbang di dalam wilayah tersebut bertindak menepati dengan peruntukan-peruntukan keselamatan penerbangan tersebut.
  4. Tiap-tiap Pihak hendaklah untuk mematuhi peruntukan-peruntukan keselamatan yang dikehendaki oleh Pihak yang satu lagi untuk masuk ke dalam, untuk bertolak dari, dan semasa berada di dalam wilayah-wilayah Pihak masing-masing dan tiap-tiap Pihak hendaklah memastikan bahawa langkah-langkah yang cukup dikenakan dengan berkesan di dalam wilayahnya untuk melindungi pesawat udara dan untuk memeriksa penumpang-penumpang, krew, dan bagasi mereka dan barang-barang yang dibawa sendiri, juga kargo dan barang stor pesawat udara, sebelum dan semasa menaiki pesawat dan pemunggahan. Tiap-tiap Pihak hendaklah juga memberi pertimbangan yang positif terhadap sebarang permintaan daripada Pihak yang satu lagi bagi langkah-langkah keselamatan khas untuk menghadapi sesuatu ancaman tertentu.
  5. Apabila sesuatu kejadian atau ancaman rampasan pesawat udara awam yang menyalahi undang-undang atau perbuatan-perbuatan lain yang menyalahi undang-undang terhadap keselamatan penumpang-penumpang, krew, pesawat udara, lapangan-lapangan terbang atau kemudahan-kemudahan perjalanan udara berlaku, Pihak-Pihak hendaklah membantu antara satu sama lain dengan memberikan kemudahan perhubungan dan langkah-langkah lain yang bersesuaian bertujuan untuk menamatkan dengan cepat dan selamat kejadian atau ancaman tersebut.
  6. Apabila satu Pihak mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa Pihak yang satu lagi tidak mematuhi peruntukan-peruntukan keselamatan penerbangan dari Perkara ini, pihak-pihak berkuasa aeronautikal dari Pihak tersebut boleh meminta supaya diadakan perundingan segera dengan pihak-pihak berkuasa aeronautikal dari Pihak yang satu lagi. Kegagalan mencapai persetujuan yang memuaskan dalam tempoh limabelas (15) hari daripada tarikh permintaan tersebut akan menjadi alasan untuk menahan, membatalkan, menggantungkan, mengehadkan, atau mengenakan syarat-syarat keatas kebenaran mengendalikan dan keizinan teknikal sesebuah syarikat penerbangan atau syarikat-syarikat penerbangan Pihak yang satu lagi. Apabila dikehendaki pada waktu kecemasan, satu Pihak boleh mengambil tindakan sementara sebelum tamat tempoh 15 hari.
  7. Mana-mana Pihak yang telah melaksanakan haknya untuk menahan, membatalkan, menggantung, atau mengehadkan atau mengenakan syarat-syarat mengenai kebenaran mengendalikan sesebuah syarikat atau syarikat-syarikat penerbangan menurut perenggan 6 dari Perkara ini hendaklah memaklumkan Depositari mengenai tindakannya.

New Zealand Ministry of Transport
Attention: Air Services
Phone: +64-4-439-9000
Fax: +64-4-439-9004
e-mail: maliat@transport.govt.nz
New Zealand Ministry of Foreign Affairs and Trade
Attention: Treaty Officer
Legal Division
Fax:+64-473-2103
e-mail: lgl@mfat.govt.nz